Showing posts with label Dakwah. Show all posts
Showing posts with label Dakwah. Show all posts

Saturday, 11 January 2014

Berapa Harga Syahid ?

Sedari kecil, kita dihidangkan dengan pelbagai kisah peperangan Rasulullah s.a.w, para sahabat, juga Hero Islam menentang tentera kafir quraisy, rom, parsi, salib, konstantin dan lain-lain. Mereka berjuang bermati-matian hinggalah beroleh kemenangan atau menemui syahid..


Kesungguhan mereka berjuang seakan-akan tidak takut mati, adalah kerana keyakinan mereka yang tinggi terhadap apa yang dijanjikan Allah s.w.t dan rasul-Nya. :

al_Imran 195..
"Maka Tuhan mereka memperkenankan permohonannya (dengan berfirman): 'Sesungguhnya Aku tidak mensia-siakan amal orang-orang yang beramal di antara kamu, baik laki-laki atau perempuan, (kerana) setengah kamu adalah keturunan dari setengahnya yang lain. Maka orang-orang yang berhijrah, yang diusir dari kampung halamannya, yang disakiti pada jalan-Ku, yang berperang (mempertahankan islam) dan yang dibunuh (gugur syahid), pastilah akan Ku-hapuskan kesalahan-kesalahan mereka dan pastilah Aku masukkan mereka ke dalam surga yang mengalir sungai-sungai di bawahnya, sebagai pahala di sisi Allah. Dan Allah pada sisi-Nya pahala yang baik".

riwayat at_Tirmidzi..
"Bagi orang yang mati syahid ada 6 keistimewaan iaitu: 
1. Diampuni dosanya sejak mulai pertama darahnya meluncur keluar. 
2. Melihat tempatnya didalam surga. 
3. Dilindungi dari azab kubur 
4. Terjamin keamanannya dari malapetaka besar
5. Merasakan kemanisan iman, dikahwinkan dengan bidadari,
6. Diperkenankan memberi syafa’at bagi 70 orang kerabatnya"


Persoalannya.
- Masih adakah peluang untuk kita beroleh segala promosi-promosi yang ditawarkan ini, sedang dalam diri kita masih penuh terpahat dengan gelora hawa nafsu yang cinta akan Dunia ?. Belum dikira lagi segala amal Jahiliyyah (dosa) kita yang lepas, moga Allah mengampuninya. ameen...

" Manusia akan Mati, sebagaimana dia Hidup."

Sebagaimana gagah hebatnya Solahuddin al-Ayubi mampu mengalahkan tentera salib, membebaskan Baitul Maqdis dari tangan-tangan orang kafir kristian, hingga mampu mengukir nama di Eropah apabila dianggap sebagai seorang kesatria yang berjaya dan wujudnya sastera epik mengenai kejayaannya, dan beberapa penulisan tentang dirinya. Namun akhirnya, beliau meninggal, mati di atas katil.

Keagungan gelaran dan fadilat 'Syahid' ini, bukan sekadar dapat diperolehi dengan menyertai mana-mana perang, atau juga demostrasi yang bersifat ekstrim seperti yang berlaku di Mesir. Mengharapkan peluru menembusi dada, ledakan bom meletup di hadapan muka, pukulan bertubi-tubi menyinggahi badan. ianya susah untuk berlaku. 

Namun, untuk merealisasikan impian ini, wajiblah kita untuk beramal dengan asbab-musababnya . Bila dicampakkan telur, bawang dan garam ke dalam kuali, yang akan terhasil daripadanya pastilah telur dadar. Kuali dan segala isinya tidak akan menghasilkan ayam KFC dengan ramuan seperti itu, pastilah tidak.. Paling kurang, mungkin akan jadi telur dadar hangus, akibat lalai menjaga api..

Begitulah harga sebuah Syahid, ia tidak akan terbayar dengan hanya sekadar engkau hidup seperti orang biasa. bangun, makan, gelak ketawa, tidur dan pergi berperang dengan cina sebelah rumah. Bagaimana dengan niat, keikhlasan hati, kesungguhan dan motif engkau ?.

Harganya dibidas sejak sekian lama, menjadikan nilainya semakin hari semakin melambong, dek kerana cubaan dunia yang semakin menggila. Maka terpaksalah orang yang menginginkannya menabung 2-3 tahun untuk kembali membidas, bagi mendapatkannya.

Maka ketahuilah kita bahawa harga nilai sebuah syahid itu merupakan ketaqwaan, dekatnya diri kita terhadap Allah. 

Sekali lagi, Persoalannya Bagaimana ?

- Yang pertama dan terutama. Kurangkan tabiat dosa, maksiat kita terhadap Allah s.w.t juga makhluqnya (sesama manusia). 

Seperti sebuah balang besar, bagaimana ingin mengisinya dengan stok makanan yang baru, sekiranya masih penuh dengan stok-stok lama yang sudah berkulat lagi dikelilingi lalat ?. 


Kemudian barulah mengisinya dengan coklat-coklat yang lazat seperti:
2) Solat 5 waktu berjemaah di Masjid. Tekad, subuh di Masjid.
3) Puasa sunat Isnin & Khamis, paling kurang 1 kali seminggu.
4) Tilawah al-Qur'an
5) Qiyamullail, paling kurang witir.
6) Work out, jaga kesihatan.

Barulah layak kita bicara tentang syahid.

Namun, tidak bermaksud sekiranya kita amalkan ke enam-enam tips ini, kita pasti akan peroleh keenam-enam Fadhilat Syahid (mati syahid) tersebut. Seperti dalam kisah Solahuddin al-Ayyubi, kehidupannya sedari kecil hingga meninggal, hidupnya sentiasa bersama pedang. Hubungan dia dengan Allah juga sangat rapat, hingga diizinkan oleh-Nya membebaskan Baitul Maqdis. Akhirnya dia bukanlah mati di medan tempur.

Kes ini sama seperti kisah Khalid al-walid, digelar pedang Allah kerana kegagahan beliau menghunus pedang apabila berhadapan dengan musuh islam. Khalid al-walid juga akhirnya mati di atas katil.

Akhirnya segalanya berbalik semula kepada bagaimana cara kita hidup.

Rasulullah s.a.w. bersabda yang diriwayatkan oleh Muslim :
'Barang siapa yang bercita-cita mati syahid kerana Allah, nescaya akan diletakkan oleh Allah kedudukannya di tempat para syuhada sekalipun dia mati di atas tempat tidurnya'

Masakan orang yang hidupnya sentiasa bersama pedang, pada siangnya gagah seperti sang singa yang kelaparan, malam pula si Abid yang bergelinang air mata berseorangan memohon ampun, tidak diberikan syurga padanya ?.

Moga Allah Berikan Syahid dan Syurga pada kita semua, ameenn.

p/s : Sekiranya anda tertarik dengan tulisan ini dan berazam untuk memperbaiki diri, saya sarankan anda perbaiki diri sikit demi sedikit, step by step. Supaya tidak nanti, gelojoh melompat anak tangga, akhirnya jatuh tergolek ke bawah, dan mula melangkah dari tangga yang pertama..

Rofiq Amin
11 Januari 2014
Madinat Nasr, cairo. Egypt.


Wednesday, 25 December 2013

Rijal dan Aku.

Umur muda ialah satu tempoh umur ketika mana manusia berada di peringkat gila, kemuncak umur juga tenaga. Semangat tinggi tak ingat dunia. Sanggup buat apa sahaja. Pedulikan selamat atau bahaya, mampu atau tak terdaya, baik atau celaka. Peduli saja semuanya, buat saja apa yang mahu. Begitulah tabiatnya orang muda.

Jadilah masalah sepertimana yang dilanda masyarakat hari ini. Gila tak tidur malam kerana bermain dota, gila habis kredit RM100 sebulan kerana ber"sms" -ayang chat kew?, gila merempit sana-sini hingga calar kaki tangan seluruh badan dan segala jenis kegilaan yang tidak sepatutnya ada pada pemuda hari ini.

Maka gilanya orang muda seperti ini mesti digunakan, dipandu dan disalurkan ke atas hak-haknya hingga suatu hari nanti, mereka mampu mencapai peringkat mengangkat Islam dan umat keseluruhannya. 

Sepertimana keadaan kisah seorang pemuda yang 'gila' bangun dan berdiri dihadapan raja yang batil lagi zalim, demi membentangkan al-haq, iaitu aqidah yang benar dan ubudiyyah serta ketaatan kepada Allah, maka Allah kuatkan hati dia, agar dia dapat rempuh semua rintangan. Akhirnya Allah kurniakan bonus yang bernilai dengan keyakinan yang teramat dari kalangan rakyat majoritinya terhadap apa yang dilaungkan oleh pemuda ini, hingga mereka sanggup terjun beramai-ramai ke dalam gaung berisi bahan bakar yang menyala-nyala dalamnya.. Dan sungguh itulah kemenangan yang nyata buat pemuda ini, ashabul Ukhdud. 


15 December
-----------------------
Hari ini seperti hari-hari biasa, pergi dan pulang dari menuntut ilmu di Azhar tsadis, bagi melaksanakan tanggung jawab sebagai hamba, anak juga pelajar. Namun, suatu pertemuan yang tidak diduga telah berlaku dengan perancangan dan kuasa Allah azza wajalla. Segalanya bermula setelah selesainya kuliyyah sesi petang.

Dalam perjalanan pulang ke rumah, kelihatan sekumpulan pemuda berdemo di tengah jalan, menutup lebih separuh dari jalan yang ada, menjadikan kenderaan semuanya terpaksa beratur bergerak dengan perlahan seterusnya mendengar apa yang dilaungkan oleh kumpulan pemuda tersebut. 

Yang menjadikan aku tertarik hingga melangkah turun dari bas, melihat demonstrasi itu adalah bukan kerana ia dilakukan oleh pelajar-pelajar arab, atau bukan juga kerana jalan yang mereka tutup, bahkan ianya merupakan masaalah yang terpaksa ditanggung orang ramai. Tetapi di sana, terdapat kelibat raut wajah yang rasanya sering terserempak di beberapa buah tempat sebelum ini.

bertambah menarik lagi, lelaki ini seolah-olah memain peranan sebagai pengawal kepada demonstrasi ini. Ketika orang ramai membaling batu terhadap kereta jeneral tentera yang lalui jalan tersebut, dia melarang mereka dan melindungi kereta tersebut sambil mengiringi dengan mengangkat simbol 4 terhadap jeneral tersebut. 

Dia juga memainkan peranan sebagai peninjau kepada keadaan sekeliling. Memerhati mereka yang berada di sekeliling, hinggalah yang berdiri di atas bangunan juga turut dia perhatikan. Malahan mana-mana peserta demonstrasi yang ada masaalah atau punya apa-apa maklumat turut mereka laporkan padanya.. Ohh, baru aku teringat, inilah lelaki yang memimpin demonstrasi di dalam kuliyyah Usuluddin Azhar hussin tempoh hari.. Dalam erti kata lain, dialah pemimpin kepada siri-siri Demonstrasi yang berlaku sekitar Universiti. 

Dalam usia semuda itu, sudah mampu memimpin sekumpulan manusia menuntut demokrasi yang dikhianati terhadap penduduk Rabaah, juga bumi Mesir. Menjadikan aku kaku sebentar, mengingati kembali seerah para sahabat, tabien, juga wira-wira Muda ar-Rijal ugama Islam. Ali bin Abi Thalib, Zaid ibn Harithah, Anas ibn Malik, Sultan alFateh, dan terkini as Syahid Imam Hassan alBanna dan ramai lagi..

Apakah lelaki ini layak bergelar Rijal ? Berhadapan dengan pelbagai risiko yang mampu menggugat nyawa. Melawan kuasa besar Mesir, tentera yang pernah menewaskan Israel. Berisiko terhadap diri, rakan-rakan malah keluarganya sendiri. Jika ditanya kepada saya, sudah pastinya dia layak dipanggil Rijal. Kerana pemuda seperti inilah yang ditunggu-tunggu Dunia, dirindui ummah, di Geruni Yahudi.

Sungguh aku berharap dapat menjadi seperti engkau wahai Rijal. Pastinya engkau sudah bersedia menghadap tuhan bila-bila masa, sedang aku masih terperangkap denga tipu daya dunia semata-mata. 

Setelah jumpe bersalaman dan sembang ringkas, akhirnya demi keselamatan, aku terpaksa beredar meninggalkan mereka. Semoga jumpa lagi suatu hari nanti. Engkau dengan ahlul Misriyyun dan aku dengan ahlul Maliziyyun, kita gencar dunia ini, supaya akhirnya kita dapat bertemu di Syurga kelak.. 

---------------------
Sebagai kata-kata akhir buat pembangkit semangat saya, atau sesiapa yang ter'kena' padanya:

"Perjuangan yang sangat jauh akan terasa dekatnya, apabila engkau menyertai atau mengikuti perkembangan siri-siri demonstrasi yang berada di Mesir."

Semangat juangnya, kesabarannya, kekentalannya, keakraban hubungan mereka dengan Tuhannya.. Bangkit Lahh !..


Moga kita terus tsabat atas jalan ini. 
.اللهم ثبت قلوبنا على طريق دعوتك


Rofiq Amin
25 Disember 2013
Madinat Nasr, cairo. Egypt

Tuesday, 10 December 2013

Warisan Dakwah.

Warisan adalah segala sesuatu peninggalan yang ditinggalkan pewaris kepada ahli waris. manakala dakwah pula merupakan kegiatan yang bersifat menyeru, mengajak dan memanggil orang untuk beriman dan taat kepada Allah s.w.t sesuai dengan garis aqidah, syari'at dan akhlak Islam. 'Dakwah' berarti panggilan, seruan atau ajakan. 


Dakwah Rasulullah bermula dengan pengislaman saidatina khadijah (isteri baginda), Abu Bakr as-Siddiq (sahabat karib baginda), kaum Quraisy Mekah, dan hinggalah sampai ke tangan pemerintah Negeri, Raja kaisar dari Byzantium, Mukaukis dari Mesir, Kisra dari Persia (Iran) dan Raja Najasyi dari Habsyah (Ethiopia). Dan ia kekal terus diwarisi walau setelah kewafatan baginda s.a.w oleh para sahabat, tabien, tabi'-tabien, salafus soleh hinggalah akhirnya hasil usaha keras mereka, dapat dirasai oleh kita seluruh umat Islam. Dan itulah sebesar-besar amalan sunnah yang diamal ar-Rasul s.a.w, namun jarang diper'giat'kan, diperlakukan, dibuat oleh masyarakat kini. 

Terdapat ramai tokoh-tokoh islam terdahulu yang sanggup berkorban demi menjamin kelangsungan dakwah ini. Tahap kesungguhan mereka menyerahkan jiwa dan raga, amat susah digambarkan, dek kerana cinta dan kasih yang amat mendalam terhadap Rasul s.a.w, mereka teruskan juga untuk me'waris'kan da'wah ini kepada kita semuanya.


Seperti Muaz bin Jabal yang diutus Rasulullah untuk menyebarkan dakwah ke negeri Yaman. Sultan Muhammad al-Fatih yang membuka kota Konstantinople walau dengan cara berperang, di zaman ini juga tedapat contoh pewaris risalah dakwah iaitu as-Syahid Imam Hasan al-Banna. beliau yang merupakan pengasas Jemaah Ikhwan Muslimin Jemaah ahli sunah wal jamaah, mampu mengumpulkan ratusan ribu manusia bergerak menyebar luaskan warisan ini hingga membentuk sebuah jajahan pemerintahan Islami seperti Turkey (Erdogan), Palestin (Ismael Haniyah), Mesir (Morsi) dan Sudan (Hasan Turabi), malah digeruni Yahudi hinggalah terjadi sebagaimana yang terjadi pada dunia hari ini.

Dakwah Ikhwan yang mula bertapak di bumi Mesir telah membiak dengan sihat dan pesat apabila as-syahid hassan al-Banna telah memperkenalkan sistem tujuh maratib amal bermula dengan pembinaan individu, rumah tangga muslim, perbaiki masyarakat, hinggalah ke ustaziyatul Alam (Guru kepada Dunia).

Begitulah kitaran zaman. Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud :

"Akan sentiasa ada segolongan dari umatku yang menegakkan kebenaran dan berjuang menentang musuh mereka. Barang siapa yang cuba menghampakan mereka, tidak sekali-kali akan dapat melukakan mereka mahupun oleh kesusahan yang menimpa mereka, sehingga datang keputusan Allah, dan mereka akan tetap sedemikian. Maka para sahabat bertanya: "Wahai Rasulullah, di manakah mereka ini?" sabda Baginda: "Mereka berada di Baitulmaqdis dan sekitar Baitulmaqdis."

Allah juga berfirman yang bermaksud:

Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka bersifat yang demikian ialah orang-orang yang berjaya. - العمران ١٠٤

Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah Aku tunjukkan sesuatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya ?. Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan rasulNya, serta kamu berjuang membela dan menegakkan agama Allah dengan harta benda dan diri kamu; yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat yang sebenarnya) - الصف ١٠-١١

Tidakkah kita ingin menyambut seruan ini ?

Dan akhirnya kegiatan dakwah membina ummah ini wajib diwariskan, dari generasi ke generasi, menerusi remaja juga belia, tua atau muda, masing-masing punya peranan tersendiri, berganding bahu menongkah arus, agar bumi ini besinar kembali sesinar zaman khulafa' ar-Rasyidin, zaman pemerintahan Abbasiyah, zaman 2/3 dunia adalah milik kita.

Islam itu pasti tertegak, mari berlumba menjadi bata-bata yang tersusun menyumbang ke arah pembinaan Daulah Islamiah.

Salam perjuangan buat kader-kadeer dakwah, para daie di Malaysia khususnya, umat islam seluruhnya. Terus bekerja, moga amal ini menjadi pelaburan yang menguntungkan kita di akhirat kelak.

Rofiq Amin
11 Disember 2013
Madinat Nasr, cairo. Egypt.