Tuesday 10 December 2013

Warisan Dakwah.

Warisan adalah segala sesuatu peninggalan yang ditinggalkan pewaris kepada ahli waris. manakala dakwah pula merupakan kegiatan yang bersifat menyeru, mengajak dan memanggil orang untuk beriman dan taat kepada Allah s.w.t sesuai dengan garis aqidah, syari'at dan akhlak Islam. 'Dakwah' berarti panggilan, seruan atau ajakan. 


Dakwah Rasulullah bermula dengan pengislaman saidatina khadijah (isteri baginda), Abu Bakr as-Siddiq (sahabat karib baginda), kaum Quraisy Mekah, dan hinggalah sampai ke tangan pemerintah Negeri, Raja kaisar dari Byzantium, Mukaukis dari Mesir, Kisra dari Persia (Iran) dan Raja Najasyi dari Habsyah (Ethiopia). Dan ia kekal terus diwarisi walau setelah kewafatan baginda s.a.w oleh para sahabat, tabien, tabi'-tabien, salafus soleh hinggalah akhirnya hasil usaha keras mereka, dapat dirasai oleh kita seluruh umat Islam. Dan itulah sebesar-besar amalan sunnah yang diamal ar-Rasul s.a.w, namun jarang diper'giat'kan, diperlakukan, dibuat oleh masyarakat kini. 

Terdapat ramai tokoh-tokoh islam terdahulu yang sanggup berkorban demi menjamin kelangsungan dakwah ini. Tahap kesungguhan mereka menyerahkan jiwa dan raga, amat susah digambarkan, dek kerana cinta dan kasih yang amat mendalam terhadap Rasul s.a.w, mereka teruskan juga untuk me'waris'kan da'wah ini kepada kita semuanya.


Seperti Muaz bin Jabal yang diutus Rasulullah untuk menyebarkan dakwah ke negeri Yaman. Sultan Muhammad al-Fatih yang membuka kota Konstantinople walau dengan cara berperang, di zaman ini juga tedapat contoh pewaris risalah dakwah iaitu as-Syahid Imam Hasan al-Banna. beliau yang merupakan pengasas Jemaah Ikhwan Muslimin Jemaah ahli sunah wal jamaah, mampu mengumpulkan ratusan ribu manusia bergerak menyebar luaskan warisan ini hingga membentuk sebuah jajahan pemerintahan Islami seperti Turkey (Erdogan), Palestin (Ismael Haniyah), Mesir (Morsi) dan Sudan (Hasan Turabi), malah digeruni Yahudi hinggalah terjadi sebagaimana yang terjadi pada dunia hari ini.

Dakwah Ikhwan yang mula bertapak di bumi Mesir telah membiak dengan sihat dan pesat apabila as-syahid hassan al-Banna telah memperkenalkan sistem tujuh maratib amal bermula dengan pembinaan individu, rumah tangga muslim, perbaiki masyarakat, hinggalah ke ustaziyatul Alam (Guru kepada Dunia).

Begitulah kitaran zaman. Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud :

"Akan sentiasa ada segolongan dari umatku yang menegakkan kebenaran dan berjuang menentang musuh mereka. Barang siapa yang cuba menghampakan mereka, tidak sekali-kali akan dapat melukakan mereka mahupun oleh kesusahan yang menimpa mereka, sehingga datang keputusan Allah, dan mereka akan tetap sedemikian. Maka para sahabat bertanya: "Wahai Rasulullah, di manakah mereka ini?" sabda Baginda: "Mereka berada di Baitulmaqdis dan sekitar Baitulmaqdis."

Allah juga berfirman yang bermaksud:

Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka bersifat yang demikian ialah orang-orang yang berjaya. - العمران ١٠٤

Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah Aku tunjukkan sesuatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya ?. Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan rasulNya, serta kamu berjuang membela dan menegakkan agama Allah dengan harta benda dan diri kamu; yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat yang sebenarnya) - الصف ١٠-١١

Tidakkah kita ingin menyambut seruan ini ?

Dan akhirnya kegiatan dakwah membina ummah ini wajib diwariskan, dari generasi ke generasi, menerusi remaja juga belia, tua atau muda, masing-masing punya peranan tersendiri, berganding bahu menongkah arus, agar bumi ini besinar kembali sesinar zaman khulafa' ar-Rasyidin, zaman pemerintahan Abbasiyah, zaman 2/3 dunia adalah milik kita.

Islam itu pasti tertegak, mari berlumba menjadi bata-bata yang tersusun menyumbang ke arah pembinaan Daulah Islamiah.

Salam perjuangan buat kader-kadeer dakwah, para daie di Malaysia khususnya, umat islam seluruhnya. Terus bekerja, moga amal ini menjadi pelaburan yang menguntungkan kita di akhirat kelak.

Rofiq Amin
11 Disember 2013
Madinat Nasr, cairo. Egypt.


No comments:

Post a Comment